Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
 |
|
RAWATAN dialisis bukan
bermakna berakhirnya hidup anda. Pelan pemakanan khusus seperti
mengurangkan pengambilan protein bagi menghalang pengumpulan bahan
buangan di dalam badan dapat membantu rawatan.
|
ANDA mungkin pernah mendengar keluhan pesakit buah pinggang: Sakit
(rawatan)... Ia juga membuatkan saya berasa murung dan tidak
produktif.
Masakan tidak. Bagi pesakit buah pinggang kronik, rawatan dialisis
diberikan selama tiga hingga empat jam sekali, tiga kali seminggu untuk
meneruskan hidup secara normal.
Itu belum mengambil kira bebanan ekonomi yang terpaksa ditanggung
oleh mereka bagi mendapatkan rawatan dialisis.
Nilainya mampu mencecah
gaji sebulan yang diperoleh seorang eksekutif!
Buah pinggang di kalangan pengamal perubatan Cina lama, diibaratkan
sebagai ibu kepada segala bahan cecair yang terdapat di dalam badan
manusia.
Sepasang organ berbentuk kacang ini terletak sebelah-menyebelah, atas
sedikit daripada aras pinggang belakang, bawah sedikit daripada rangka
tulang rusuk. Setiap satu darinya berukuran saiz penumbuk anda.
Sesuai fungsinya sebagai alat penapis, buah pinggang bertanggungjawab
mengumuhkan sisa-sisa bernitrogen terutama urea daripada darah.
Unit-unit aktif buah pinggang dikenali sebagai nefron, yang menuras
darah di bawah tekanan dan kemudian menyerap air dan bahan-bahan
terpilih kembali ke darah.
Air kencing yang terbentuk mengalir melalui tubul-tubul renal ke ureter, yang menuju ke pundi kencing.
Apabila buah pinggang hilang keupayaan penapisannya, ia akan
membentuk kekurangan air kencing dan mengakibatkan pengumpulan cecair
serta bahan buangan di dalam darah. Keadaan ini dinamakan penyakit
(kegagalan) buah pinggang.
Bahan buangan tersebut akan bertindak sebagai racun yang memberikan
kesan tidak selesa seperti rasa loya, muntah, hilang selera makan dan
kelesuan. Kesemuanya dikenali sebagai simptom uremia, kata Pakar
Nefrologi, Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur, Dr Lim Chin Seng.
Menurutnya, kegagalan buah pinggang kronik berlaku apabila ia rosak
teruk disebabkan oleh penyakit kronik dan tidak lagi boleh menapis
bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh.
Lazimnya, kata Dr. Lim, penyakit berkembang secara perlahan-lahan
dengan menunjukkan tanda-tanda atau gejala yang tidak ketara pada
peringkat awalnya.
Malah, kebanyakan penghidap langsung tidak menyedari masalah
tersebut sehinggalah fungsi buah pinggang mereka merosot ke tahap kurang
daripada 25 peratus berbanding keadaan normal.
Apabila seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang yang kronik,
mereka akan sakit teruk beberapa bulan lamanya dan mengalami anemia.
Buah pinggang terus mengeluarkan air kencing namun gagal menyingkirkan
bahan kotoran mahupun menyerap bahan-bahan yang berguna, jelas beliau.
Tambahnya, tekanan darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyebab utama yang mencetuskan kegagalan buah pinggang kronik.
Kajian mendapati, di antara 20 hingga 40 peratus pesakit diabetes
akan berakhir sebagai pesakit buah
pinggang diabetes di mana komplikasi
diabetes yang serius mengakibatkan kerosakan buah pinggang secara
beransur-ansur (diabetik nefropati).
Berdasarkan Laporan Daftar Dialisis dan Transplan Malaysia Ke-11
2003, adalah dianggarkan 2,000 pesakit didiagnosis mengalami kegagalan
buah pinggang peringkat akhir (kronik).
Tambah menggerunkan, kadar pesakit yang memerlukan dialisis
meningkat kepada 2,538 orang pada tahun 2004 jika dibandingkan dengan 43
orang sahaja pada tahun 1980, tegas Dr. Lim.
Saban tahun, lebih 2,500 orang mengalami kegagalan buah pinggang
peringkat akhir di negara ini, bersamaan dengan kira-kira 100 orang
dalam sejuta penduduk.
Mengulas lanjut, jelas beliau, ada kalanya kegagalan buah pinggang
boleh berlaku secara tiba-tiba atau akut. Keadaan ini selalunya terjadi
selepas prosedur pembedahan yang rumit atau kecederaan teruk,
ubat-ubatan tertentu atau apabila pembuluh darah yang menghala ke arah
buah pinggang tersekat.
Rawatan penyakit buah pinggang kronik bergantung kepada tahap
penyakit tersebut dengan matlamat untuk menghentikan atau melengahkan
tahap perkembangannya.
Dalam kes-kes lebih ringan (tahap satu), langkah yang aktif perlu
diambil untuk mengawal hipentensi (darah tinggi), memperbetulkan
ketidakseimbangan garam dan air serta merawat jangkitan saluran
urinari/kencing, kata Dr. Lim.
Pada tahap dua dan tiga, pengurusan diet yang bersesuaian termasuk
mengehadkan protein dan mengubah suai pengambilan air selain ubat-ubatan
yang dipreskripsikan secara tetap oleh doktor boleh memperlahankan
proses perkembangan penyakit dalam jangka panjang.
Penyakit buah pinggang kronik boleh maju ke tahap akhir (peringkat
empat) di mana buah pinggang berfungsi pada kapasiti yang tidak normal.
Ketika ini, seseorang itu sama ada memerlukan penapis tiruan
(dialisis) ataupun pemindahan buah pinggang untuk meneruskan hidupnya.
*Diet sangat rendah protein
Apa yang mungkin tidak kita sedari adalah betapa kos terapi
penggantian buah pinggang seperti dialisis dan transplan yang jauh lebih
tinggi, sehingga 10 kali ganda berbanding pengurusan penyakit buah
pinggang yang efektif menerusi terapi pemakanan buah pinggang.
Bagi mengelakkan pengumpulan bahan buangan terjadi, kata Dr. Lim,
seseorang itu hendaklah mengehadkan pengambilan protein di dalam makanan
kerana protein akan menghasilkan bahan buangan (seperti urea) di dalam
air kencing.
Pada masa yang sama, pengambilan fosfat di dalam diet mestilah dikurangkan.
Jumlah kalori yang cukup dan memadai dari lemak dan karbohidrat amat penting bagi satu terapi diet yang berjaya.
Sekiranya jumlah kalori tidak mencukupi, badan anda akan memecahkan
otot-otot untuk penghasilan tenaga dan akhirnya menyebabkan anda
kehilangan berat badan, ujar beliau.
Asid amino merupakan elemen yang paling kecil di dalam protein. Terdapat 20 jenis asid amino di dalam makanan kita.
Dr. Lim berkata, ada beberapa asid amino penting yang tidak berupaya
dihasilkan oleh badan kita dan hanya boleh didapati daripada makanan
yang diambil.
Dengan mengurangkan pengambilan protein untuk menghalang
pengumpulan bahan buangan di dalam badan, jumlah asid amino juga akan
turut berkurangan.
Kini, para pesakit berkenaan mempunyai pilihan. Ketosteril adalah
makanan tambahan yang dapat menghalang pengurangan jumlah asid amino
yang diperlukan sekali gus mampu mengekalkan anda berada pada tahap
pemakanan yang sihat, katanya.
Menurutnya, Ketosteril mengandungi asid amino perlu dan juga asid
keto iaitu asid amino perlu tanpa unsur nitrogen (tidak menghasilkan
bahan buangan).
Apabila digunakan, asid keto akan bertukar kepada asid amino yang
diperlukan di dalam badan dan menghalang kehadiran bahan buangan yang
dihasilkan oleh asid amino.
Kajian membuktikan bahawa diet sangat rendah protein yang ditambah
dengan Ketosteril, produk keluaran firma farmaseutikal Fresenius Kabi
itu mampu memperlahankan kerosakan fungsi buah pinggang, mengurangkan
kesan sampingannya di samping mengekalkan status zat-zat
pemakanan/nutrisi pesakit.
Ini sekali gus membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang
lebih baik dan paling penting, menangguhkan kegagalan buah pinggang
kronik memasuki tahap akhir, dari tempoh tiga ke lima tahun, kata Dr.
Lim.
Amalkan diet berprotein sangat rendah yang ditokok dengan Ketosteril
hanya di bawah pengawasan doktor perubatan bersama-sama dengan
pemeriksaan yang kerap. Nasihat doktor haruslah dipatuhi. Dapatkan
saranan pakar diet.