Diet Rendah Protein Pesakit Buah Pinggang

RAWATAN dialisis bukan bermakna berakhirnya hidup anda. Pelan pemakanan khusus seperti mengurangkan pengambilan protein bagi menghalang pengumpulan bahan buangan di dalam badan dapat membantu rawatan.


ANDA mungkin pernah mendengar keluhan pesakit buah pinggang: ‘‘Sakit (rawatan)... Ia juga membuatkan saya berasa murung dan tidak produktif.’’

Masakan tidak. Bagi pesakit buah pinggang kronik, rawatan dialisis diberikan selama tiga hingga empat jam sekali, tiga kali seminggu untuk meneruskan hidup secara normal.

Itu belum mengambil kira bebanan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh mereka bagi mendapatkan rawatan dialisis.

Nilainya mampu mencecah gaji sebulan yang diperoleh seorang eksekutif!

Buah pinggang – di kalangan pengamal perubatan Cina lama, diibaratkan sebagai ibu kepada segala bahan cecair yang terdapat di dalam badan manusia.

Sepasang organ berbentuk kacang ini terletak sebelah-menyebelah, atas sedikit daripada aras pinggang belakang, bawah sedikit daripada rangka tulang rusuk. Setiap satu darinya berukuran saiz penumbuk anda.

Sesuai fungsinya sebagai alat penapis, buah pinggang bertanggungjawab mengumuhkan sisa-sisa bernitrogen terutama urea daripada darah.
Unit-unit aktif buah pinggang dikenali sebagai nefron, yang menuras darah di bawah tekanan dan kemudian menyerap air dan bahan-bahan terpilih kembali ke darah.
Air kencing yang terbentuk mengalir melalui tubul-tubul renal ke ureter, yang menuju ke pundi kencing.

‘‘Apabila buah pinggang hilang keupayaan penapisannya, ia akan membentuk kekurangan air kencing dan mengakibatkan pengumpulan cecair serta bahan buangan di dalam darah. Keadaan ini dinamakan penyakit (kegagalan) buah pinggang.

‘‘Bahan buangan tersebut akan bertindak sebagai racun yang memberikan kesan tidak selesa seperti rasa loya, muntah, hilang selera makan dan kelesuan. Kesemuanya dikenali sebagai simptom uremia,’’ kata Pakar Nefrologi, Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur, Dr Lim Chin Seng.
Menurutnya, kegagalan buah pinggang kronik berlaku apabila ia rosak teruk disebabkan oleh penyakit kronik dan tidak lagi boleh menapis bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh.

Lazimnya, kata Dr. Lim, penyakit berkembang secara perlahan-lahan dengan menunjukkan tanda-tanda atau gejala yang tidak ketara pada peringkat awalnya.
‘‘Malah, kebanyakan penghidap langsung tidak menyedari masalah tersebut sehinggalah fungsi buah pinggang mereka merosot ke tahap kurang daripada 25 peratus berbanding keadaan normal.

‘‘Apabila seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang yang kronik, mereka akan sakit teruk beberapa bulan lamanya dan mengalami anemia. Buah pinggang terus mengeluarkan air kencing namun gagal menyingkirkan bahan kotoran mahupun menyerap bahan-bahan yang berguna,’’ jelas beliau.

Tambahnya, tekanan darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyebab utama yang mencetuskan kegagalan buah pinggang kronik.

Kajian mendapati, di antara 20 hingga 40 peratus pesakit diabetes akan berakhir sebagai pesakit buah
pinggang diabetes di mana komplikasi diabetes yang serius mengakibatkan kerosakan buah pinggang secara beransur-ansur (diabetik nefropati).

‘‘Berdasarkan Laporan Daftar Dialisis dan Transplan Malaysia Ke-11 2003, adalah dianggarkan 2,000 pesakit didiagnosis mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir (kronik).
‘‘Tambah menggerunkan, kadar pesakit yang memerlukan dialisis meningkat kepada 2,538 orang pada tahun 2004 jika dibandingkan dengan 43 orang sahaja pada tahun 1980,’’ tegas Dr. Lim.
Saban tahun, lebih 2,500 orang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir di negara ini, bersamaan dengan kira-kira 100 orang dalam sejuta penduduk.

Mengulas lanjut, jelas beliau, ada kalanya kegagalan buah pinggang boleh berlaku secara tiba-tiba atau akut. Keadaan ini selalunya terjadi selepas prosedur pembedahan yang rumit atau kecederaan teruk, ubat-ubatan tertentu atau apabila pembuluh darah yang menghala ke arah buah pinggang tersekat.

‘‘Rawatan penyakit buah pinggang kronik bergantung kepada tahap penyakit tersebut dengan matlamat untuk menghentikan atau melengahkan tahap perkembangannya.
‘‘Dalam kes-kes lebih ringan (tahap satu), langkah yang aktif perlu diambil untuk mengawal hipentensi (darah tinggi), memperbetulkan ketidakseimbangan garam dan air serta merawat jangkitan saluran urinari/kencing,’’ kata Dr. Lim.

Pada tahap dua dan tiga, pengurusan diet yang bersesuaian termasuk mengehadkan protein dan mengubah suai pengambilan air selain ubat-ubatan yang dipreskripsikan secara tetap oleh doktor boleh memperlahankan proses perkembangan penyakit dalam jangka panjang.

Penyakit buah pinggang kronik boleh maju ke tahap akhir (peringkat empat) di mana buah pinggang berfungsi pada kapasiti yang tidak normal.
Ketika ini, seseorang itu sama ada memerlukan penapis tiruan (dialisis) ataupun pemindahan buah pinggang untuk meneruskan hidupnya.

*Diet sangat rendah protein

Apa yang mungkin tidak kita sedari adalah betapa kos terapi penggantian buah pinggang seperti dialisis dan transplan yang jauh lebih tinggi, sehingga 10 kali ganda berbanding pengurusan penyakit buah pinggang yang efektif menerusi terapi pemakanan buah pinggang.

Bagi mengelakkan pengumpulan bahan buangan terjadi, kata Dr. Lim, seseorang itu hendaklah mengehadkan pengambilan protein di dalam makanan kerana protein akan menghasilkan bahan buangan (seperti urea) di dalam air kencing.

Pada masa yang sama, pengambilan fosfat di dalam diet mestilah dikurangkan.
‘‘Jumlah kalori yang cukup dan memadai dari lemak dan karbohidrat amat penting bagi satu terapi diet yang berjaya.

‘‘Sekiranya jumlah kalori tidak mencukupi, badan anda akan memecahkan otot-otot untuk penghasilan tenaga dan akhirnya menyebabkan anda kehilangan berat badan,’’ ujar beliau.
Asid amino merupakan elemen yang paling kecil di dalam protein. Terdapat 20 jenis asid amino di dalam makanan kita.

Dr. Lim berkata, ada beberapa asid amino penting yang tidak berupaya dihasilkan oleh badan kita dan hanya boleh didapati daripada makanan yang diambil.
‘‘Dengan mengurangkan pengambilan protein untuk menghalang pengumpulan bahan buangan di dalam badan, jumlah asid amino juga akan turut berkurangan.

‘‘Kini, para pesakit berkenaan mempunyai pilihan. Ketosteril adalah makanan tambahan yang dapat menghalang pengurangan jumlah asid amino yang diperlukan sekali gus mampu mengekalkan anda berada pada tahap pemakanan yang sihat,’’ katanya.

Menurutnya, Ketosteril mengandungi asid amino perlu dan juga asid keto iaitu asid amino perlu tanpa unsur nitrogen (tidak menghasilkan bahan buangan).
Apabila digunakan, asid keto akan bertukar kepada asid amino yang diperlukan di dalam badan dan menghalang kehadiran bahan buangan yang dihasilkan oleh asid amino.

Kajian membuktikan bahawa diet sangat rendah protein yang ditambah dengan Ketosteril, produk keluaran firma farmaseutikal Fresenius Kabi itu mampu memperlahankan kerosakan fungsi buah pinggang, mengurangkan kesan sampingannya di samping mengekalkan status zat-zat pemakanan/nutrisi pesakit.
‘‘Ini sekali gus membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan paling penting, menangguhkan kegagalan buah pinggang kronik memasuki tahap akhir, dari tempoh tiga ke lima tahun,’’ kata Dr. Lim.

Amalkan diet berprotein sangat rendah yang ditokok dengan Ketosteril hanya di bawah pengawasan doktor perubatan bersama-sama dengan pemeriksaan yang kerap. Nasihat doktor haruslah dipatuhi. Dapatkan saranan pakar diet.

No comments:

Post a Comment